Tiny Fest Borneo 2026 Platform Perkukuh Pembangunan Kanak-Kanak dan Komuniti
KUCHING: Tiny Fest Borneo 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan kanak-kanak serta mengeratkan hubungan komuniti ke arah pembentukan bandar yang lebih inklusif dan mesra keluarga.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, inisiatif sedemikian mencerminkan komitmen berterusan dalam membina bandar yang bukan sahaja maju dari segi fizikal, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya generasi muda.
Menurut beliau, sebuah bandar tidak hanya diukur melalui pembangunan infrastruktur, sebaliknya kekuatan komuniti dan kesejahteraan rakyat menjadi asas utama dalam menentukan kemajuan sebenar.
“Selama bertahun-tahun, di MBKS, kami telah berusaha secara konsisten untuk membina bukan sahaja sebuah bandar yang bersih, hijau dan cekap, tetapi juga sebuah bandar yang berbelas kasihan, inklusif dan berakar umbi dalam nilai-nilai komuniti.
“Sebuah bandar di mana keluarga berasa selamat dan disokong, jiran-jiran berasa terhubung, dan kanak-kanak diberi ruang, keyakinan, dan galakan untuk berkembang sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian menyempurnakan perasmian Tiny Fest Borneo 2026 di Tropic City, Tabuan Dayak, pada Sabtu.
Dato Wee menambah, penglibatan Kuching dalam inisiatif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Bandar Mesra Kanak-Kanak (Child Friendly Cities Initiative – CFCI) membuktikan usaha berterusan dalam memastikan keperluan dan suara kanak-kanak diberi perhatian dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti.
Sehubungan itu, katanya, Tiny Fest Borneo 2026 dilihat sebagai lanjutan kepada komitmen tersebut dengan menyediakan ruang interaktif yang menggalakkan perkembangan fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak.
Beliau turut menyentuh cabaran era digital masa kini yang menyaksikan kanak-kanak semakin terdedah kepada penggunaan teknologi secara berlebihan sehingga menjejaskan interaksi sosial serta kesejahteraan emosi, sekali gus menekankan kepentingan penyediaan ruang yang mampu menggalakkan interaksi bermakna, kreativiti dan rasa kebersamaan dalam kalangan mereka.
Tiny Fest Borneo 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan pelbagai aktiviti interaktif, program pendidikan serta pengisian komuniti yang memberi tumpuan kepada pembangunan kanak-kanak dan pengukuhan institusi keluarga.
Turut hadir semasa majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Penganjur Borneo Tiny Fest Kiyoshi Aihara dan Pengarah Eksekutif Regal International Group Nicholas Wong.-EDISI UKAS