Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Teruskan Kunjungan Aidilfitri Di Sibu
SIBU: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar meneruskan siri kunjungan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menyantuni pemimpin masyarakat dan penduduk di sini, hari ini.
Ditemani isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, kunjungan mereka bermula di kediaman Temenggong Dato Sri Wan Hamid Edruce di Jalan Jasmin pada jam 10 pagi.
Ketibaan pasangan itu disambut mesra oleh Dato Sri Wan Hamid serta isteri Datin Sri Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz bersama ahli keluarga serta penduduk setempat yang hadir memeriahkan suasana.
Turut mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Hamzah serta isteri, Datin Sri Zuraini Abdul Jaabar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan.
Hadir sama ialah Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.
Siri kunjungan tersebut diteruskan ke kediaman mantan Ahli Parlimen Igan, Dato Sri Abdul Wahab Dolah di Jalan Kampung Nangka sekitar jam 11 pagi.
Selain disambut oleh Dato Sri Abdul Wahab dan isteri, Datin Sri Roesah Adai, kehadiran Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi turut diraikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Ta Ann Datuk K.H Wong serta ratusan penduduk yang tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan beliau.-EDISI UKAS