Kekalkan Keharmonian, Jadikan Kepelbagaian Sebagai Kekuatan
SIMUNJAN: Semangat perpaduan dan keharmonian terus menjadi tunjang kekuatan masyarakat Sarawak apabila penduduk diseru agar sentiasa bermuhasabah serta memperbaharui tekad dalam memelihara keamanan yang telah sekian lama dibina.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, perkara tersebut adalah selaras dengan amanat Premier Sarawak sempena sambutan Aidilfitri yang menekankan kepentingan perpaduan sebagai teras kestabilan negeri.
Menurut beliau, kepelbagaian kaum dan budaya yang wujud di Sarawak merupakan kekuatan utama yang perlu dipertahankan demi menjamin masa depan generasi akan datang di bawah naungan aspirasi ‘Sarawak Maju Makmur’.
"Marilah kita terus bersatu padu bagi memastikan negeri ini terus gemilang untuk generasi masa depan," katanya semasa berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Nanas Hulu, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen penduduk kampung yang terus mengekalkan tradisi ziarah-menziarahi dan majlis ramah tamah sebagai platform terbaik untuk mengeratkan silaturahim meskipun dalam kesibukan minggu pertama sambutan Aidilfitri.
Majlis tersebut turut diserikan dengan acara penyampaian hadiah pertandingan lampu hiasan rumah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, selain penyampaian duit raya kepada kanak-kanak serta remaja Kampung Nanas Hulu sebagai tanda penghargaan dan keceriaan sambutan.
Mengulas mengenai permohonan pembekalan kanopi oleh Ketua Kampung, Jera'i Rosli Rosli, Rodiyah menyatakan pihaknya akan meneliti perkara tersebut berdasarkan keutamaan dan baki dana projek tahun semasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris dan wakil Pegawai Daerah Simunjan Samantha Claire Daniel. -EDISI UKAS