69 Organisasi Di Senadin Terima Geran MRP Berjumlah RM805,500
MIRI: Sebanyak 69 pertubuhan, organisasi dan badan amal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM805,500 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti serta program komuniti di kawasan berkenaan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, agihan geran itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membantu organisasi penerima menjalankan program tahunan serta memperkukuh usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Geran ini diharap dapat memacu pelaksanaan pelbagai program sosial, kebajikan dan komuniti yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
"Kita mahu organisasi penerima memainkan peranan aktif dalam pembangunan kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan geran berkenaan dalam satu majlis yang berlangsung di Pejabat SUPP Cawangan Senadin, Permyjaya, pada Sabtu.
Dato Sri Lee menambah, peruntukan tersebut merupakan dana sesi pertama bagi tahun 2026 dan setiap organisasi digalakkan memanfaatkan geran itu secara optimum bagi mencapai objektif yang dirancang.
Beliau turut menegaskan, peruntukan seperti geran MRP yang merupakan sumbangan Kerajaan Sarawak adalah selari dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan komuniti secara menyeluruh, termasuk dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pelaksanaan dasar pendidikan percuma oleh Kerajaan Sarawak merangkumi empat institusi pengajian tinggi milik negeri iaitu Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak serta i-CATS University College.
“Pendidikan percuma ini membuka peluang kepada lebih ramai anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran tanpa beban kewangan, sekali gus melahirkan modal insan berkualiti untuk masa depan negeri,” ujarnya. -EDISI UKAS