SIBU: Ilmu pertolongan cemas dan kemahiran menyelamat nyawa perlu dikongsi secara meluas kepada masyarakat umum sebagai usaha membina komuniti yang lebih bersedia mendepani kecemasan.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata, perkongsian ilmu sedemikian merupakan bentuk jangkauan komuniti yang kritikal bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin.
“Pelajar yang dilengkapi dengan kemahiran ini berupaya bertindak pantas dalam situasi kecemasan serta memainkan peranan penting dalam membantu dan menyelamatkan nyawa orang lain.
“Namun, ilmu yang diperoleh tidak harus terhenti setakat individu sahaja. Ia perlu dikongsi bersama masyarakat untuk memperluas manfaat kepada komuniti secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee dalam majlis perasmian Jualan Bendera Tahunan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Sibu di sebuah pasaraya, pada Sabtu.
Menurut Kevin, inisiatif jualan bendera tahunan tersebut bukan sekadar kempen mengumpul dana, tetapi merupakan platform strategik untuk memperkasakan generasi muda dengan kemahiran yang mampu memberi impak besar kepada orang awam.
Sementara itu, beliau turut menekankan bahawa lambang Bulan Sabit Merah membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar simbol fizikal.
Jelasnya, lambang tersebut melambangkan nilai kemanusiaan sejagat serta kepercayaan tinggi yang dinikmati organisasi itu di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi PBSMM Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee dan Penasihat Kehormat PBSMM Sibu, Datuk Lau Ngie Hua.-EDISI UKAS