Projek Klinik Kesihatan Sepupok Ditender Semula April Ini
MIRI: Projek pembinaan Klinik Kesihatan Sepupok baharu di Niah yang tertangguh susulan peningkatan kos akan ditender semula pada April ini, kata Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata, projek Klinik Kesihatan Jenis 3 yang diluluskan pada 2021 dengan kos asal RM40 juta itu sebelum ini dijadualkan bermula tahun lalu dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan.
Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri, kerja awal projek telah dilaksanakan selama dua tahun, manakala proses tender pertama dibuat pada 2024.
“Projek ini telah diluluskan beberapa tahun lalu dan peningkatan kos tidak dapat dielakkan, terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan pasca pandemik COVID-19.
“Selain itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut menambah skop ujian seismik bagi menilai keadaan struktur tanah serta risiko gegaran di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, keperluan ujian seismik itu timbul susulan beberapa insiden keruntuhan tanah dan struktur yang dilaporkan berlaku di Sarawak, termasuk kejadian di Long Lama serta beberapa lokasi lain di bahagian utara negeri.
Sehubungan itu, JKR Sarawak mengesyorkan ujian tersebut dilaksanakan bagi memastikan kesesuaian struktur tanah dengan reka bentuk asal projek.
“Sekiranya didapati keadaan tanah tidak stabil, reka bentuk perlu diperkukuhkan melalui kerja tambahan, sekali gus meningkatkan kos keseluruhan projek.
“Malah, pelaksanaan ujian seismik itu sendiri melibatkan kos yang tinggi dan menjadi antara faktor utama peningkatan perbelanjaan,” katanya.
Tambah beliau, ujian seismik kini menjadi komponen penting dalam pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur pada masa hadapan, termasuk seperti yang pernah berlaku di Klinik Kesihatan Long Lama.
Dalam pada itu, projek berkenaan telah dikemukakan semula kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mendapatkan kelulusan tambahan peruntukan.
Selepas proses tender semula dimuktamadkan, pembinaan klinik tersebut dijangka mengambil masa 36 bulan untuk disiapkan.
Diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan 3, projek itu akan menggabungkan Klinik Kesihatan dan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KIA) dalam satu fasiliti bersepadu, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan serta keselesaan pesakit di kawasan Niah dan sekitarnya.- EDISI UKAS