Ramah Tamah Aidilfitri Eratkan Perpaduan Komuniti Supa
SPAOH: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 peringkat Kampung Supa menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat muafakat dalam kalangan komuniti setempat.
Majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Supa itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam dengan kehadiran kira-kira 150 penduduk.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi medium mengeratkan silaturahim serta memperkukuh keharmonian masyarakat.
Menurut beliau, nilai saling memaafkan dan semangat kebersamaan yang dizahirkan dalam sambutan tersebut amat penting dalam membina komuniti yang sejahtera dan bersatu padu.
Beliau turut menyeru kepimpinan kampung agar mengamalkan pendekatan terbuka dalam menerima pandangan serta aduan penduduk bagi memastikan pembangunan setempat dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Selain itu, masyarakat digalakkan terus memainkan peranan aktif dengan menyalurkan idea dan cadangan demi kemajuan kampung serta kesejahteraan generasi akan datang.
Tambah beliau, kerjasama serta sikap saling menghormati dalam kalangan penduduk perlu diperkukuh bagi mengekalkan keharmonian komuniti.
Majlis anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Supa dengan kerjasama Ranting Kampung Supa itu turut dihadiri para penghulu, ketua kampung serta penduduk setempat dalam suasana penuh mesra dan harmoni. —EDISI UKAS