Peringatan Operasi Semut Diangkat Sebagai Tarikan Pelancongan Warisan Bario
BARIO: Peringatan ulang tahun ke-81 pendaratan payung terjun pasukan Z Force di bawah Operasi Semut bukan sahaja menghidupkan kembali sejarah Perang Dunia Kedua, malah semakin menyerlahkan potensi Bario sebagai destinasi pelancongan berasaskan warisan dan komuniti.
Acara yang berlangsung di Bario Memorial Park itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk wakil antarabangsa, sekali gus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan tempatan yang berteraskan sejarah, budaya dan alam semula jadi.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, Bario memiliki keunikan tersendiri apabila sejarah perjuangan Operasi Semut masih kekal dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.
Menurut beliau, kisah keberanian pasukan Bersekutu bersama komuniti Kelabit boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan yang autentik dan berimpak tinggi.
“Penduduk Bario, khususnya masyarakat Kelabit, memainkan peranan besar dalam menjayakan misi ini dengan menyediakan perlindungan, bekalan makanan serta pengetahuan mengenai kawasan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Peringatan Antarabangsa ke-81 Pendaratan Payung Terjun Operasi Semut 1945 di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, penganjuran acara peringatan seumpama itu berpotensi menarik pelancong domestik dan antarabangsa, khususnya mereka yang berminat dengan sejarah ketenteraan dan warisan budaya.
Dalam masa sama, ia turut memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara-negara Bersekutu seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom melalui platform pertukaran budaya dan diplomatik.
“Dengan mengenang sejarah, kita bukan sahaja menghargai masa lalu, malah membina jambatan untuk masa depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan pelancongan mampan di Bario mampu memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, termasuk membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor hospitaliti, kraftangan dan perkhidmatan pelancongan.
Selain itu, penglibatan aktif komuniti dalam penganjuran acara tersebut memperlihatkan bagaimana warisan sejarah dapat dipelihara sambil memberi nilai ekonomi kepada penduduk tempatan.
Majlis turut memberi penghormatan kepada para veteran serta keluarga mereka, di samping menjadi platform penting dalam memastikan sejarah Operasi Semut terus diangkat sebagai aset pelancongan yang bernilai tinggi.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, wakil pertahanan antarabangsa serta pemimpin masyarakat tempatan. -EDISI UKAS