Pelarasan Subsidi RON95: Lega Untuk Harian, Rakyat Terus Berjimat Hadapi Tekanan Kos Hidup
KUCHING: Walaupun had subsidi petrol RON95 dikurangkan kepada 200 liter sebulan, bagi kebanyakan rakyat, jumlah itu masih cukup untuk bergerak, namun kehidupan harian tetap menuntut mereka lebih berjimat dalam menghadapi kos sara hidup yang kian meningkat.
Tinjauan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Sabtu mendapati majoriti pengguna tidak terjejas secara langsung dengan pelarasan tersebut, khususnya mereka yang penggunaan petrol berada di bawah had ditetapkan.
Bagi Mohamad Aqmal Ashyraf Brahim, 33, had baharu itu masih mencukupi untuk keperluan rutin hariannya sebagai pekerja yang bergantung kepada kenderaan sendiri.
“Bagi saya, 200 liter sebulan itu mencukupi untuk kegunaan harian,” katanya yang menggunakan sekitar 140 hingga 180 liter sebulan.
Namun bagi sesetengah keluarga, setiap liter petrol tetap memberi makna dalam mengurus perbelanjaan bulanan.
Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 29, berkata beliau kini lebih berhati-hati merancang perjalanan harian bagi mengelakkan pembaziran.
“Sekarang memang kena kira betul-betul, pergi kerja, ambil anak, semua guna minyak. Kalau boleh, sekali jalan selesaikan semua urusan,” katanya, menggambarkan realiti ramai keluarga bekerja hari ini.
Nada sama dikongsi Nur Syahidatul Fatehah, 32, yang menyifatkan subsidi tersebut masih memberi kelegaan walaupun dalam jumlah yang lebih terhad.
“Alhamdulillah, 200 liter itu masih membantu dan saya bersyukur subsidi ini masih dikekalkan,” ujarnya, sambil mengakui harga petrol bersubsidi memberi ruang bernafas berbanding harga pasaran.
Sementara itu, Reynold, 31, berpandangan pelarasan itu tidak memberi kesan besar kepadanya, namun mengakui ia mungkin dirasai golongan dengan penggunaan bahan api lebih tinggi seperti pekerja luar bandar atau mereka yang bergantung kepada perjalanan jauh.
“Bagi kami, tidak terkesan kerana penggunaan petrol tidak sampai 200 liter sebulan,” jelasnya, sambil mencadangkan perancangan perjalanan lebih efisien sebagai langkah berjimat.
Secara keseluruhan, orang awam melihat pelarasan ini sebagai usaha ke arah subsidi yang lebih bersasar, namun berharap kerajaan terus menambah baik inisiatif sokongan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Sebelum ini, kerajaan memutuskan had kelayakan subsidi petrol RON95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini, berbanding 300 liter sebelum ini.-EDISI UKAS