Sumbangan Cek Perkukuh Pembangunan Komuniti di Spaoh
SPAOH: Penyaluran sumbangan cek oleh kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan komuniti setempat menerusi sokongan kepada pelbagai organisasi dan keperluan rakyat di kawasan Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan komuniti dilaksanakan secara inklusif.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan upacara ringkas penyerahan cek yang berlangsung di Rumah Rehat Kerajaan, Spaoh, pagi tadi.
Dalam majlis tersebut, beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Antara penerima ialah Persatuan Tiong Hua Spaoh yang memberi manfaat kepada komuniti Cina di Pasar Spaoh dan Kebun Spaoh, selain Biro Wanita Cina Spaoh serta Spaoh Chinese Charitable Trust Board bagi tujuan menaik taraf tokong di kawasan berkenaan.
Turut menerima sumbangan ialah Kelab Rekreasi Pejabat Daerah Kecil Spaoh dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penom bagi kerja-kerja baik pulih rumah panjang.
Majlis anjuran Pusat Khidmat DUN Bukit Saban itu turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong, Jason Ng Boon Tuan serta Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Abang Mohamed Abang Turkey.
Turut hadir, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Setiausaha Majlis Daerah Betong Lister Clement Guwie, Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Denny Lim serta Pemancha Masyarakat Cina Daerah Betong Goh Liang Tong.- EDISI UKAS