Sumbangan RM362,600 Iringi Sambutan Aidilfitri Di Spaoh
SPAOH: Sambutan Majlis Ramah Tamah Raya Spaoh 2026 menjadi platform signifikan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum sekali gus menyokong agenda pembangunan berterusan di kawasan Spaoh.
Majlis yang menghimpunkan kira-kira 600 penduduk di Dewan Masyarakat Spaoh itu telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban bersama isteri Datin Amar Dato Doreen Mayang.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi medium penting untuk mengukuhkan keharmonian, semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kekuatan Sarawak terletak pada keupayaan rakyatnya hidup dalam kepelbagaian kaum dan budaya secara harmoni, sekali gus menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperhebat pembangunan merangkumi sektor infrastruktur, ekonomi dan kemudahan asas bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, projek infrastruktur utama seperti pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 bakal memperkukuh jaringan perhubungan antara Spaoh, Betong dan Sri Aman, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuh kawalan terhadap sumber ekonomi strategik.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap cuaca panas bagi mengelakkan kejadian kebakaran serta mengamalkan pengurusan kewangan yang bijak dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM362,600 kepada komuniti Melayu Spaoh yang memanfaatkan 942 Ketua Isi Rumah (KIR), empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Masjid Darul Syifa serta 10 surau di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, Aidilfitri merupakan simbol penyatuan yang mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dan pembangunan ekonomi sebagai asas kepada peningkatan taraf hidup rakyat, selain mengingatkan masyarakat agar berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan perpaduan.
Majlis anjuran Jawatankuasa Pengelola Majlis Ramah Tamah Raya Spaoh 2026 itu turut dihadiri pemimpin tempatan, ketua jabatan serta masyarakat setempat dalam suasana penuh harmoni.- EDISI UKAS