SERIAN: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) telah terbukti sebagai platform penting dalam menyatukan kaum Bidayuh di Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 1955.
Penasihat (Pendidikan) di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata slogan ‘Indi Awang Indi Asung Indi Bidayuh’ yang cukup sinonim dengan masyarakat Bidayuh perlu terus dikekalkan sebagai lambang identiti dan perpaduan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa DBNA bukanlah sebuah parti politik, sebaliknya sebuah organisasi yang memperjuangkan kebajikan dan kemajuan masyarakat Bidayuh.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat Bidayuh berbangga dengan peranan yang dimainkan oleh DBNA serta terus memberikan sokongan padu kepada persatuan tersebut.
Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan agar satu tabung pendidikan DBNA Serian diwujudkan bagi membantu pelajar Bidayuh melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di Sarawak.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Pengarah Veterinar Sarawak Datu Adrian Susin Ambud dan Pengerusi DBNA Serian Dr Chali Ungang. -EDISI UKAS