SIMANGGANG: Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) terus memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar apabila menganjurkan Program PraPelancaran Earth Hour 2026, sekali gus menandakan kesiapsiagaan Sri Aman sebagai tuan rumah bagi sambutan peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak tahun ini.
Program yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman, Perpustakaan MDSA dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar itu berjaya menghimpunkan penyertaan pelbagai pihak termasuk kakitangan dan Ahli Majlis MDSA serta Sarawak Skills Sri Aman dalam usaha memupuk kesedaran komuniti terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Aktiviti dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan senamrobik di Mini Stadium Sri Aman sebelum diteruskan dengan simbolik penanaman pokok yang disempurnakan oleh Pengerusi MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan bersama Setiausaha MDSA, Mohd Rizal Zakaria dan Timbalan Pengerusi MDSA, Kr Balean Suji Inggol.
Selain itu, turut diadakan ialah aktiviti gotong-royong di sekitar stadium dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar dengan kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman, sekali gus mencerminkan komitmen bersepadu agensi dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Menariknya, program turut memberi nilai tambah kepada komuniti setempat apabila MDSA membuka kaunter Program Vaksinasi Besar-besaran, pemasangan mikrocip serta pelesenan anjing di perkarangan Perpustakaan MDSA.
Dalam masa sama, inisiatif pembelian minyak masak terpakai yang diadakan di Taman Tebingan Sungai Batang Lupar mendapat sambutan menggalakkan apabila sebanyak 197 kilogram minyak berjaya dikumpulkan dalam tempoh 10 minit pertama, mencerminkan tahap kesedaran tinggi masyarakat terhadap amalan kitar semula.
Program prapelancaran berakhir pada jam 10.30 pagi dengan Mohd Rizal menyeru orang ramai agar terus menyokong sambutan Earth Hour yang akan berlangsung pada malam ini.
Kemuncak program dijadual berlangsung pada jam 8.30 malam ini di Mini Stadium Sri Aman, yang akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian melalui simbolik pemadaman lampu selama satu jam bersama agensi kerajaan.
Sepanjang tempoh tersebut, pengisian program turut diserikan dengan tayangan video berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim, selain siaran langsung di media sosial yang dijangka melibatkan penyertaan antara 200 hingga 250 individu merangkumi 28 PBT di seluruh Sarawak.
Sehubungan itu, seluruh penduduk Sri Aman diseru untuk bersama-sama memadamkan lampu dan menutup peralatan elektrik yang tidak diperlukan pada jam 8.30 malam ini sebagai tanda komitmen kolektif dalam memelihara kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang. -EDISI UKAS