Kerajaan Sarawak Perhalusi Bantuan, Tangani Kenaikan Harga Barang, Bahan Api
MIRI: Dalam usaha meringankan tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai rakyat, Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan susulan kenaikan harga barang dan bahan api ketika ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif tersebut sedang diperhalusi di peringkat Kabinet bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada rakyat yang terkesan.
"Kita akan bermesyuarat. Memang saya telah umumkan dalam kabinet, kita akan memberi sedikit bantuan untuk menghadapi masalah pada masa sekarang," katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 Jubli Intan SMK Long Lama di sini, pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, pengumuman rasmi mengenai bentuk dan mekanisme bantuan itu akan diumum sebaik sahaja perkara berkenaan dimuktamadkan.
"Kita akan umumkan selepas ini," ujarnya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Patron Persatuan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama, Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang, Pengerusi Persatuan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama Margaret Uding Nawan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS