Movie Day 4.0 Bawa Keceriaan Kepada 100 Kanak-Kanak Kurang Berkemampuan
MIRI: Seramai 100 kanak-kanak kurang berkemampuan di Miri berpeluang menikmati pengalaman menonton wayang menerusi program Movie Day 4.0.
Program amal yang berlangsung di TGV Cinema, Permaisuri Imperial City Mall pada Sabtu itu menyaksikan kanak-kanak berkenaan menonton filem The Cat in the Hat dengan iringan 15 guru dan bantuan lima sukarelawan WOW Prihatin.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang turut hadir memeriahkan program berkenaan.
Naib Presiden RCMOT merangkap Pengerusi Penganjur Movie Day 4.0, Sean Huang berkata, program itu bertujuan memberikan pengalaman menggembirakan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan yang mungkin jarang berpeluang menikmati aktiviti seumpama itu.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan turut mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan kanak-kanak, selain menggalakkan kerjasama antara pertubuhan dalam menjayakan aktiviti kemasyarakatan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Peguam Sarawak Cawangan Miri, WOW Prihatin, guru-guru dan sukarelawan yang bersama-sama menjayakan program tersebut.
Movie Day 4.0 merupakan edisi keempat penganjuran program berkenaan oleh RCMOT, selepas edisi ketiga diadakan pada Disember 2025 dengan penyertaan 100 kanak-kanak yang menonton filem Zootopia 2.
RCMOT berharap program berkenaan dapat diteruskan secara berkala pada masa hadapan bagi membuka peluang kepada lebih ramai kanak-kanak kurang berkemampuan menikmati pengalaman yang sama.
Turut hadir Presiden RCMOT Dr Selvam Shanmugam, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Pembangunan Pelancongan Majlis Bandaraya Miri merangkap Ahli Majlis Kaunselor Sean Huang Hong Siong, Yang Dipertua WOW Prihatin Raji Karti dan Bendaharinya Penghulu Kamarudin Reduan. -EDISI UKAS