Penduduk Perumahan Cina Diberi Ruang Kemuka Isu, Cadangan Kepada SUPP
MERADONG: Penduduk Perumahan Cina, Jalan Su Tak berpeluang menyampaikan aduan, isu setempat dan cadangan secara langsung kepada kepimpinan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor menerusi program Mobile Service To U pada Sabtu.
Pengerusi Parti SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing bersama rombongan parti mengadakan kunjungan ke kawasan berkenaan bagi mendengar maklum balas penduduk mengenai perkara yang memerlukan perhatian.
Pertemuan itu membolehkan penduduk menyampaikan pandangan berkaitan keperluan kawasan mereka, selain memberi peluang kepada pihak parti mendapatkan maklumat secara langsung daripada komuniti setempat.
Datuk Ding berkata, komunikasi berterusan dengan penduduk penting bagi membolehkan isu yang dihadapi masyarakat dikenal pasti dan diberi perhatian sewajarnya.
Program Mobile Service To U merupakan pendekatan Parti SUPP Cawangan Bintangor untuk mendapatkan maklum balas masyarakat menerusi pertemuan secara langsung dengan penduduk di kawasan setempat. -EDISI UKAS