Bengkel IT, Kursus Pemasangan Elektrik Perkasa Kemahiran Komuniti Luar Bandar
SRI AMAN: Bengkel Kemahiran IT Siri Ke-4 dan Kursus Pemasangan Elektrik Satu Fasa yang dianjurkan Sarawak Skills Sri Aman dengan kerjasama Pejabat Daerah dilihat mampu memperluas peluang peningkatan kemahiran serta pengetahuan masyarakat luar bandar.
Pengurus Sarawak Skills Sri Aman, Dexter Jagit berkata, program seumpama itu wajar diteruskan kerana ilmu dan kemahiran yang diperoleh peserta berpotensi membuka peluang pekerjaan serta membantu mereka membina masa depan lebih terjamin.
Menurut beliau, Bengkel Kemahiran IT khususnya memberi manfaat kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam meningkatkan kecekapan pengurusan serta pentadbiran kampung masing-masing.
"Menerusi pendedahan kepada penggunaan aplikasi digital seperti Google Workspace, Google Drive, Google Forms dan Google Calendar, tugas pengurusan pentadbiran di peringkat akar umbi dapat dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil kedua-dua program di Bilik Mini Seminar, Sarawak Skills Sri Aman, pada Jumaat.
Majlis berkenaan disempurnakan Kaunselor Sugom yang mewakili Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie, dengan kerjasama Pejabat Daerah Sri Aman, Pantu, Lingga dan Balai Ringin.
Bengkel Pemantapan Kemahiran IT Siri 4/2026 disertai 25 peserta, manakala Kursus Pemasangan Elektrik Satu Fasa melibatkan 11 peserta.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil Pejabat Daerah Sri Aman Joshua Martin Jantan, wakil Pejabat Daerah Pantu Dorothy Langgong, Temenggong Leonard Libau, Pemanca Lee Siang Hua serta Penghulu Menjang Niah. -EDISI UKAS