Pengangkutan Awam Perlu Diberi Tumpuan Tangani Cabaran Krisis Global
KUCHING: Pengangkutan awam perlu diberi perhatian serius sebagai antara langkah penting dalam menangani cabaran global termasuk ketidaktentuan bekalan serta kebergantungan terhadap minyak dan gas.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, perkara itu memerlukan penyelesaian menyeluruh dan yakin kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg akan tampil dengan pendekatan terbaik bagi menangani cabaran berkenaan.
"Beliau (Premier Sarawak) turut menyebut bahawa semua jabatan kerajaan dan pihak berkaitan perlu memikirkan perkara ini secara serius.
"Kita perlu melihat bagaimana kita hendak menangani semua cabaran ini kerana saya pasti masih banyak pilihan yang boleh kita fikirkan, dan belum terlambat untuk bertindak.
"Saya fikir ini adalah satu pengajaran yang perlu kita ambil kerana apabila semua pihak terkesan, kita berharap suatu hari nanti kita akan berjaya mempunyai pilihan sendiri dan tidak lagi terlalu bergantung kepada bekalan daripada pihak luar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Virtual Earth Hour 2026 di Chagee Taman Sahabat, di sini, pada Sabtu.
Dato Wee menegaskan, situasi semasa perlu dijadikan pengajaran agar Sarawak dapat membina keupayaan sendiri dan tidak terus terlalu bergantung kepada bekalan dari luar, yang boleh memberi kesan besar apabila berlaku gangguan atau ketidaktentuan global.
Tambah beliau, setiap kali tercetus gangguan bekalan atau keadaan luar jangka, kesannya boleh dirasai secara langsung oleh rakyat, justeru Sarawak perlu bersedia dengan pilihan yang lebih stabil dan mampan pada masa hadapan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie