KUCHING: Kuching City FC (KCFC) mempamerkan kebangkitan meyakinkan apabila menundukkan Hougang United FC 2-1 dalam aksi persahabatan yang penuh intensiti di Stadium Negeri pada malam Sabtu sekali gus memberi petanda positif menjelang pertemuan penting menentang Selangor FC.
Disaksikan lebih 1,500 penyokong, skuad ‘The Cats’ tampil bertenaga seawal wisel pertama apabila membuka jaringan seawal minit keenam menerusi tandukan kemas Jerome Mpacko hasil hantaran lintang Ahmad Nawaf.
Momentum positif itu bagaimanapun sedikit terganggu apabila kesilapan di benteng pertahanan pada minit ke-33 dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain Hougang United, Jaramillo Ayovi Washington Duglar untuk menyamakan kedudukan 1-1, keputusan yang kekal hingga tamat separuh masa pertama.
KCFC hampir kembali di hadapan sebelum rehat, namun percubaan Petrus Shitembi pada masa kecederaan hanya tersasar tipis di sebelah kanan gawang.
Memasuki babak kedua, tuan rumah menggandakan asakan dan berjaya menemui gol kemenangan pada minit ke-56. Sepakan percuma Ahmad Nawaf disudahkan dengan tenang oleh Ronald Ngah Wanja untuk menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Ridhuan Barudin.
Ketua jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak, menyifatkan perlawanan tersebut sebagai ujian penting bagi menilai tahap kecergasan dan kesiapsiagaan pemain selepas rehat Aidilfitri.
“Ini perlawanan yang baik untuk kami menilai keadaan pemain, terutama dengan ketidaktentuan tahap kecergasan pemain kebangsaan. Ia juga peluang kepada pemain lain untuk membuktikan kemampuan dan bersaing merebut tempat,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Menurut beliau, walaupun prestasi keseluruhan belum mencapai tahap optimum, komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain termasuk pemain gantian memberi keyakinan kepada pasukan.
Beliau turut mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki menjelang aksi seterusnya, namun peningkatan dalam jentera serangan yang berjaya menghasilkan dua gol menjadi perkembangan positif.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan perbincangan sedang berlangsung bersama pengurusan kelab mengenai masa depannya sebagai ketua jurulatih, sambil menzahirkan hasrat untuk terus memacu KCFC ke tahap lebih tinggi termasuk ke pentas Asia.
KCFC selepas ini bakal berdepan ujian sebenar apabila bertandang menentang Selangor FC pada 5 April depan, dalam perlawanan yang dijangka menjadi penentu momentum pasukan.-EDISI UKAS