Usaha Tangani Tekanan Air Taman Samarindah Diperkasa, Tangki Air Baharu Dalam Pelaksanaan
KOTA SAMARAHAN: Isu tekanan air rendah di kawasan perumahan padat seperti Taman Samarindah terus diberi perhatian serius dengan pelaksanaan projek pembinaan tangki air aras tinggi (High Level Water Tank) bagi menampung keperluan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, kawasan tersebut yang mempunyai lebih 5,000 buah kediaman berdepan cabaran tekanan air berikutan penggunaan yang tinggi, khususnya pada waktu puncak.
Menurut beliau, usaha bersepadu antara pusat khidmat dan kerajaan negeri telah membuahkan hasil apabila projek pembinaan tangki air berkenaan diluluskan dengan anggaran kos sekitar RM30 juta.
“Proses tender telah selesai dan kini dalam peringkat pelantikan kontraktor. Saya jangkakan pelaksanaan projek ini dapat dimulakan dalam tahun ini,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Raya nya di Pusat Khidmat ADUN Stakan pada Ahad.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengambil inisiatif berbincang dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi mendapatkan penyelesaian jangka pendek.
Hasil perbincangan bersama menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi, satu cadangan untuk membina tangki sementara sedang dalam peringkat kajian sebagai langkah alternatif mengurangkan masalah tekanan air.
“Cadangan ini telah diterima baik dan kini dalam proses penelitian. Harapan saya, ia dapat dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban penduduk sementara menunggu projek utama siap,” jelas beliau.
Tambahnya, pelaksanaan kedua-dua inisiatif ini diharap mampu meningkatkan kestabilan bekalan air sekali gus menjamin keselesaan dan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir memeriahkan sambutan Hari Raya anjuran Pusat Khidmat N.17 Stakan, yang menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Professor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sadong Jaya, Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak Merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Simunjan, Awla Dris,
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Timbalan Menteri Utiliti Hal Ehwal Sarawak Energy Berhad (Seb) Dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) Merangkap ADUN Satok, Datuk Ibrahim Baki serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS