Empat Acara Bakal Meriahkan Sambutan Gawai Dayak 2026 Di Simanggang
SRI AMAN: Sebanyak empat acara utama bakal memeriahkan musim perayaan Gawai Dayak 2026 di Bandar Simanggang menerusi penganjuran pelbagai aktiviti budaya dan komuniti sempena sambutan Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sri Aman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis berkata, penganjuran aktiviti-aktiviti tersebut mampu menjadi platform terbaik untuk mengetengahkan identiti serta warisan kaum Iban kepada masyarakat setempat.
"Saya berharap aktiviti-aktiviti ini dapat dipromosi sada ada secara lisan atau di platform media sosial demi mengangkat martabat kaum Iban ke tahap lebih tinggi dalam kalangan penduduk lain di kawasan Sri Aman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa (JK) Sambutan Mantar Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sri Aman 2026, di sini, pada Sabtu.
Jawatankuasa berkenaan terdiri daripada lima organisasi iaitu Persatuan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Komuniti Iban Daerah Sri Aman, Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Sri Aman, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sri Aman, Kelab Penggemar Ngepan Iban Simanggang serta Kraftangan Simanggang.
Kunjungan hormat yang diketuai Temenggong Leonard Libau Anol itu bertujuan memaklumkan kepada Harden mengenai pengisian dan perancangan aktiviti sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Bahagian Sri Aman Tahun 2026.
Dalam pertemuan tersebut, setiap organisasi membentangkan kertas kerja berhubung beberapa aktiviti yang akan dilaksanakan menjelang sambutan Hari Gawai Dayak pada 1 Jun nanti.
Antara acara yang bakal diadakan ialah Bazaar Gawai Dayak 2026 anjuran Kelab Penggemar Ngepan Iban Simanggang yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 25 Mei 2026 di perkarangan Mini Stadium Sri Aman.
Selain itu, sambutan Mantar Gawai Dayak akan diadakan pada malam 23 Mei 2026 di Dewan Suarah Sri Aman dengan membawa tema ‘Segulai Sejalai Nuju Pemansang’.
Beberapa penyanyi popular tempatan turut akan diundang bagi memeriahkan acara berkenaan sebelum simbolik Ngirup Ai Pengayu dilaksanakan sebagai lambang doa untuk panjang umur, kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah.
Turut diadakan ialah Pekit (Pertandingan) Kumang dan Keling yang akan berlangsung sempena sambutan Mantar Gawai Dayak tersebut.
Pengerusi SIDS Cawangan Sri Aman, Brambun Joseph, memaklumkan penyertaan bagi pertandingan itu hanya dibuka kepada 10 peserta terawal, dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 9 Mei 2026.
Sementara itu, acara Perarakan Niti Daun di bawah kendalian Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) pula dijadual berlangsung pada pagi 15 Mei 2026, bermula dari kawasan Padang Lama KPSU Sri Aman menuju ke Hotel Seri Simanggang sebelum kembali semula ke lokasi asal. -EDISI UKAS