ADUN Dalat Santuni Mangsa Kebakaran, Hulur Bantuan RM12,000
OYA: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah meluangkan masa menziarahi keluarga yang terjejas akibat insiden kebakaran yang berlaku di Kampung Senau, di sini, pada Sabtu.
Selain meninjau sendiri keadaan mangsa yang terjejas, beliau menyampaikan bantuan bencana kebakaran berjumlah RM12,000 kepada keluarga yang terlibat sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap mereka yang kehilangan tempat tinggal serta harta benda dalam ziarah tersebut.
Beliau berharap, bantuan yang disalurkan itu dapat membantu keluarga mangsa dalam meneruskan kehidupan harian serta memenuhi keperluan asas sementara menunggu langkah pemulihan seterusnya dilaksanakan.
Sementara itu, sehari sebelum lawatan berkenaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Dalat bersama agensi lain telah tampil menyalurkan bantuan awal kepada keluarga mangsa.
Bantuan tersebut merangkumi keperluan asas seperti makanan kering, peralatan dapur, kelengkapan tidur serta kit Petroliam
Nasional Berhad (PETRONAS) bagi memastikan kebajikan mangsa terus terjaga dalam tempoh kecemasan ini.-EDISI UKAS