Usaha Hijau Diperkasa, Sembilan Agensi Sertai Earth Hour
SARIKEI: Sebanyak sembilan agensi kerajaan dan jabatan di daerah ini turut serta menjayakan program Earth Hour 2026 yang berlangsung pada Sabtu sebagai tanda komitmen terhadap pemuliharaan alam sekitar dan kesedaran perubahan iklim.
Program tersebut diadakan dari jam 7.30 malam hingga 10.00 malam dengan pelaksanaan aktiviti memadamkan lampu selama 60 minit di beberapa premis kerajaan serta agensi terlibat di sekitar daerah ini.
Penyertaan pelbagai jabatan dan agensi berkenaan mencerminkan sokongan padu terhadap inisiatif global dalam usaha mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sekali gus menurunkan jejak karbon.
Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Residen Bahagian Sarikei, Pejabat Daerah Sarikei dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sarikei, selain beberapa jabatan lain yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.
Turut serta ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarikei, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Sarikei serta Jabatan Akauntan Negara Malaysia Cawangan Sarikei.
Selain itu, Pejabat Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Bahagian Sarikei (MYSED Sarikei) di Dewan Suarah Sarikei, Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei serta Syarikat SESCO Berhad juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam inisiatif berkenaan.
Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam satu kenyataan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas sokongan, komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.
Menurut MDS, usaha memadamkan lampu selama satu jam ini bukan sahaja bersifat simbolik, malah berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Tambah kenyataan itu lagi, program seumpama ini diharap dapat terus diperluaskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih ramai pihak bagi memperkukuh usaha ke arah kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS