Majlis Apresiasi APM Dalat Iktiraf Jasa Anggota Barisan Hadapan
DALAT: Majlis Apresiasi Kecemerlangan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Dalat 2025 menjadi platform penting dalam menghargai jasa dan pengorbanan anggota yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah di Dewan CENTEXS Dalat, pada Ahad.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur kerana majlis tersebut dapat diadakan dalam suasana harmoni sebagai tanda penghargaan kepada warga APM yang sentiasa komited menjalankan tanggungjawab.
"Majlis ini bukan sekadar penghargaan, malah pengiktirafan kepada dedikasi anggota sebagai barisan hadapan yang sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran termasuk pengurusan bencana dan bantuan kecemasan.
"APM telah membuktikan keupayaan luar biasa dalam mendepani situasi getir seperti bencana banjir serta pelbagai insiden kecemasan, khususnya di daerah Dalat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kecemerlangan yang dipamerkan perlu dijadikan pemangkin untuk memperkukuh perkhidmatan kemanusiaan melalui peningkatan kesiapsiagaan komuniti, sejajar dengan strategi negara bagi tahun 2026.
"Saya menyeru para penerima anugerah agar menjadikan pengiktirafan tersebut sebagai dorongan untuk terus berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi," tambahnya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Mukah Kapten (PA) Zuriza Sharkawi berkata, majlis tersebut adalah penghargaan kepada anggota APM Daerah Dalat.
"Anggota APM Dalat sentiasa menjadi antara yang terawal tiba dan terakhir pulang ketika berdepan ancaman banjir, kes kecemasan di rumah serta khidmat kemanusiaan.
"Saya amat berbangga dengan pencapaian APM Daerah Dalat dan diharapkan ia dapat dikekalkan," ujarnya.
Hadir sama, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dalat Leftenan (PA) Mohamad Azhar Ali, Mantan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dalat, Leftenan Muda (PA) dan wakil Pegawai Daerah Dalat Rosiah Moris. - EDISI UKAS