Bantuan Keusahawanan Diteruskan, Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Rakyat
MIRI: Kerajaan Sarawak kekal komited meneruskan bantuan kepada golongan peniaga dan usahawan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam suasana ekonomi mencabar, khususnya susulan peningkatan kos bahan api dan harga barangan.
Antara inisiatif utama ialah penyediaan pinjaman mudah melalui Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) sehingga RM50,000 bagi usahawan mikro dan peniaga kecil, selain kemudahan pembiayaan sehingga RM250,000 di bawah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) untuk usahawan Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedua-dua skim berkenaan ditawarkan pada kadar faedah sifar atau rendah bagi meringankan beban kewangan usahawan.
“Kedua-dua inisiatif ini akan diteruskan bagi memastikan perniagaan kecil dan sederhana kekal serta usahawan terus berdaya tahan dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah-Tamah anjuran Persatuan Melayu Miri, di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut menekankan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini, khususnya di Miri yang terkenal sebagai bandar raya peranginan dengan kepelbagaian etnik.
“Kerajaan berusaha memastikan pembangunan yang inklusif untuk semua kaum di sini. Persatuan Melayu kita bantu, persatuan kaum lain seperti Orang Ulu juga kita bantu,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Melayu Miri (PMM), Radzali Alision memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan sebidang tanah seluas lebih lima ekar bersebelahan Bangunan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau bagi pembinaan bangunan baharu persatuan berkenaan.
Menurut beliau, kemudahan tersebut bakal membolehkan lebih banyak aktiviti dianjurkan memandangkan bangunan sedia ada di Jalan Kipas tidak lagi mampu menampung pertambahan ahli.
Ditubuhkan pada Mac 1959, PMM merupakan antara persatuan Melayu terawal di Sarawak dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan komuniti setempat.
Majlis turut dihadiri isteri beliau, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang Sauni, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad serta wakil pelbagai persatuan dan ketua masyarakat.-EDISI UKAS