Pesta Penan perkukuh perpaduan, dorong perubahan minda komuniti
SUAI: Penganjuran Pesta Penan ‘Tipun Pinum Pengida Penan’ terus menjadi wadah signifikan dalam memperkukuh perpaduan komuniti serta mendorong anjakan pemikiran ke arah kemajuan dalam kalangan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Penan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, program seumpama itu bukan sekadar perhimpunan sosial, sebaliknya berperanan sebagai platform mempererat kerjasama serta mengetengahkan potensi masyarakat setempat.
Menurut beliau, komuniti Penan perlu berani tampil sebagai pemangkin perubahan dengan meningkatkan imej diri serta keyakinan untuk bersaing dalam arus pembangunan semasa.
“Sudah tiba masanya untuk kita menunjukkan kepada dunia bahawa kita mampu berubah dan maju.
“Imej adalah perkara penting yang perlu kita jaga,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Kampung Mareng, Jambatan Suai, pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menegaskan bahawa kejayaan sesebuah komuniti bergantung kepada usaha berterusan serta kesungguhan masyarakat dalam meningkatkan taraf hidup.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk agar menjadikan individu berjaya sebagai sumber inspirasi dalam memperbaiki kehidupan, di samping menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas melahirkan generasi berdaya saing.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar menghindari sikap iri hati, sebaliknya menjadikan kejayaan orang lain sebagai pemangkin motivasi untuk turut berjaya.
Tambahnya lagi, setiap individu mempunyai kelebihan tersendiri dan perlu bijak mengenal pasti peranan masing-masing dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti.
Mengulas lanjut, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan komuniti yang memainkan peranan penting dalam memacu perubahan serta memperkukuh pembangunan masyarakat Penan di kawasan tersebut.
Antara yang hadir ialah Residen Bintulu merangkap Presiden Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak (PETIPUN), Datu Nyurak Keti, Ketua Masyarakat Penan merangkap Penasihat PETIPUN, Datuk Temenggung Hasan Sui serta Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Changgat.
Turut hadir, Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda, Ketua Masyarakat Iban Bahagian Miri, Temenggong Boniface Bada Unjah, Ketua Kampung Mareng merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Pesta Penan, Ketua Kaum (KK) Herman, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan serta Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, Dr Serina Keti.-EDISI UKAS