Kunjungan Raya Pupuk Semangat Kekeluargaan di Kabong
KABONG: Suasana Aidilfitri di Kabong terus diserikan dengan amalan kunjung-mengunjung yang bukan sahaja menghidupkan kemeriahan perayaan, malah menyemai semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir bersama isteri Datin Meryani Yasin telah mengadakan kunjungan Hari Raya ke beberapa kediaman tokoh masyarakat sebagai tanda penghargaan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat di peringkat akar umbi.
“Semangat Aidilfitri ini amat bererti kerana ia membuka ruang untuk kita saling bermaaf-maafan, memperkukuh silaturahim serta memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Tradisi kunjung-mengunjung ini juga perlu terus dipelihara kerana ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan rakyat dalam suasana penuh mesra dan harmoni,” katanya ketika mengadakan kunjungan Hari Raya Aidilfitri sempena sambutan Aidilfitri 2026 di sini pada Jumaat.
Antara yang menerima kunjungan tersebut ialah kediaman Penghulu Kamaluddin Rambli, Penghulu Sani Mohd, Penghulu Rahman @ Dom Kapok serta Mantan Penghulu Jarawi Amir.
Kunjungan tersebut turut menjadi ruang untuk bertanya khabar serta berkongsi kegembiraan sambutan Hari Raya bersama pemimpin dan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para penghulu dan pemimpin masyarakat yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menjaga keharmonian, perpaduan serta kebajikan masyarakat di kawasan Kabong.
Beliau turut berharap agar sambutan Aidilfitri pada tahun ini terus membawa kegembiraan, kesejahteraan serta mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.-EDISI UKAS