Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dirai Meriah di Kampung Kuala Hilir & Kampung Boom Oya
DALAT: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Kuala Hilir dan Kampung Boom Oya diserikan lagi dengan penganjuran majlis ramah tamah yang menarik kehadiran penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk setempat.
Dalam ucapannya, beliau memuji kesungguhan serta komitmen Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kedua-dua kampung yang telah berjaya menganjurkan majlis tersebut dengan jayanya.
Dato Sri Fatimah menegaskan bahawa kerjasama erat dalam kalangan ahli jawatankuasa, ia menjadi kunci utama dalam memastikan kelancaran sesuatu program.
“Semangat gotong-royong dan kerjasama seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuhkan perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Dalam majlis di Kampung Kuala Hilir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu telah menyerahkan Geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM350,000 bagi naik taraf parit konkrit di jalan masuk Tapak Kaul Oya, Kampung Kuala Hilir, Oya (Fasa 2) yang dijadualkan dilaksanakan pada tahun ini.
Projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam meningkatkan sistem perparitan dan mengurangkan risiko banjir.
Sementara itu, dalam majlis ramah tamah di Kampung Boom Oya, beliau turut mengumumkan peruntukan RTP berjumlah RM100,000 bagi projek pemasangan lampu jalan elektrik di Kampung Baru Oya demi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk kampung, khususnya pada waktu malam.
Pada masa sama, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, sekali gus menambahkan keceriaan sambutan dan menceriakan wajah para penerima.-EDISI UKAS