Sambutan Aidilfitri Perkukuh Semangat Muafakat di Kampung Bungin
BETONG: Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bungin menjadi platform penting dalam memperkukuh semangat muafakat dan keharmonian komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, penganjuran majlis seumpama itu juga mengeratkan hubungan sesama penduduk.
“Aidilfitri adalah hari kemenangan, hari untuk kita saling bermaafan dan melupakan segala perselisihan.
“Inilah masanya untuk kita membuka lembaran baharu dengan hati yang bersih demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Ramah Tamah Kampung Bungin 2026 yang berlangsung di Dewan Pahlawan 7, Kampung Bungin pada Sabtu.
Datuk Mohammad Razi turut menyeru kepimpinan di peringkat kampung agar sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima pandangan serta aduan penduduk.
Menurutnya, kepimpinan yang inklusif dan berlapang dada akan lebih dihormati serta memudahkan pelaksanaan pembangunan di kawasan masing-masing.
Dalam masa yang sama, beliau menggalakkan penduduk Kampung Bungin untuk tidak teragak-agak dalam menyuarakan idea dan cadangan demi kebaikan bersama.
Tegas beliau, setiap pandangan adalah bernilai dan mampu menyumbang ke arah pembinaan komuniti yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr. Richard Rapu yang turut berucap menekankan kepentingan kerjasama erat antara pemimpin dan rakyat dalam memastikan kebajikan masyarakat terus terpelihara.
Beliau menyifatkan sambutan seumpama ini sebagai simbol kekuatan hubungan antara komuniti dan pemimpin, selain menegaskan bahawa kepimpinan yang turun padang dan sentiasa mendengar suara rakyat amat penting dalam memperjuangkan isu kebajikan.
Selain itu, Dato Dr. Richard turut menyentuh cabaran kos sara hidup yang dipengaruhi oleh faktor global, namun memberi jaminan bahawa pelbagai inisiatif terus dilaksanakan bagi membantu rakyat, termasuk pelaksanaan program bantuan seperti SKAS untuk memastikan tiada golongan yang tercicir.
Beliau juga menyeru agar rakyat terus mengekalkan perpaduan serta memberikan sokongan padu kepada kepimpinan sedia ada demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan.-EDISI UKAS