Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Semarak Suasana, Erat Silaturahim Masyarakat
MUKAH: Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Kampung Penat telah menyemarakkan suasana perayaan serta memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja menghidupkan suasana perayaan, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
“Amalan kunjung-mengunjung serta penganjuran majlis ramah tamah Aidilfitri mampu memupuk persefahaman dan mempererat perpaduan dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penat dengan kerjasama Masjid Darul Falah yang berlangsung di Dewan Serbaguna kampung itu pada Sabtu.
Royston menegaskan bahawa keharmonian dan kesejahteraan masyarakat perlu sentiasa dipelihara demi menjamin masa depan negara yang aman dan makmur.
Tambahnya, suasana harmoni dalam setiap sambutan perayaan akan memastikan setiap lapisan masyarakat berasa dihargai, sekali gus memperkukuh nilai toleransi, saling menghormati dan semangat kebersamaan dalam komuniti.
Dalam pada itu, turut mengumumkan pemberian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada JKKK Kampung Penat bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan kampung tersebut.-EDISI UKAS