BELAWAI: Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Buyuk di Jerijih bakal dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM8.7 juta di bawah program pembangunan semula sekolah daif oleh Kerajaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, projek berkenaan akan memberi manfaat besar kepada pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, kondusif serta dilengkapi kemudahan moden.
“Usaha ini penting bagi memastikan anak-anak di luar bandar mendapat akses pendidikan yang berkualiti setanding dengan kawasan lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Pemimpin sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Kampung Jerijih pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato Ir. Yusuf turut memaklumkan beberapa projek kecil lain yang sedang dan akan dilaksanakan di Kampung Jerijih, termasuk projek naik taraf jeti nelayan bernilai RM400,000 serta kerja-kerja membaiki sistem perparitan dengan kos RM300,000.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut diharap dapat meningkatkan kesejahteraan dan kemudahan asas penduduk setempat, khususnya dalam menyokong aktiviti ekonomi dan kehidupan harian masyarakat.-EDISI UKAS