SARIKEI: Sebanyak 32 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menerima sumbangan peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok dalam satu majlis yang diadakan di sini, hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Pusat Khidmat DUN Repok.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 19 pertubuhan adalah dari kawasan Sarikei manakala 13 lagi dari kawasan Bintangor.
Menurut Dato’ Sri Huang, sumbangan tersebut membuktikan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa prihatin terhadap keperluan NGO dalam melaksanakan pelbagai aktiviti untuk manfaat masyarakat.
"Saya berharap agar semua pertubuhan yang menerima peruntukan ini dapat memanfaatkan sepenuhnya sumbangan berkenaan bagi tujuan yang berfaedah," katanya.
Menurut beliau, NGO perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menganjurkan program yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Tambah beliau, sebagai sebuah organisasi, NGO harus berusaha memperkasakan komuniti dalam pelbagai aspek termasuk kebajikan, pendidikan, ekonomi dan sosial.-EDISI UKAS