SARIBAS: Penduduk empat buah kampung iaitu Kampung Buda, Kampung Tanjung Assam, Kampung Sebemban dan Kampung Balingan di sini, meraikan Aidlfitri secara bersama menerusi Majlis Ramah Tamah Aidilfitri yang diadakan di Dewan Futsal, Kampung Buda, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama masyarakat setempat dalam suasana penuh keberkatan sempena Aidilfitri.
Menurut beliau, penganjuran majlis seumpama itu menjadi platform mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan majlis berkenaan.
Beliau menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai satu usaha murni dalam menyatukan masyarakat dari empat kampung sebagai satu keluarga besar, sekali gus memperkukuh perpaduan dan keharmonian setempat.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) keempat-empat kampung berkenaan.
Selepas majlis, kedua-dua pemimpin berkunjung ke Rumah Penghulu Tanjung Assam, di mana kehadiran mereka disambut mesra oleh tuan rumah dan penduduk setempat dalam suasana penuh kekeluargaan dan harmoni, selari dengan semangat Aidilfitri yang menekankan nilai silaturahim dan kebersamaan.
Sepanjang kunjungan, para tetamu berpeluang beramah mesra dengan penduduk kampung sambil menikmati pelbagai juadah Hari Raya yang disediakan, menambahkan kemeriahan suasana perayaan.-EDISI UKAS