Makmal satelit BMC perkukuh akses kesihatan, sokong pembangunan Sarawak
KUCHING: Pembukaan BMC Pines Square Satellite Laboratory menjadi satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan serta menyokong agenda pembangunan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata kemudahan tersebut bukan sekadar penambahan fasiliti, malah berperanan sebagai rakan strategik kepada kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan dan menangani cabaran penyakit tidak berjangkit serta kanser.
“Pembukaan makmal ini bukan sekadar penambahan fasiliti, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha pembangunan Sarawak dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan serta menangani cabaran penyakit tidak berjangkit dan beban kanser,”
“Ini adalah contoh bagaimana sektor swasta boleh menjadi rakan strategik kepada kerajaan dalam membangunkan sistem kesihatan yang lebih kukuh dan menyeluruh,” katanya ketika merasmikan majlis Grand Opening Ceremony di Pine Square Batu Kawa, hari ini.
Beliau menegaskan penglibatan sektor swasta amat penting dalam membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh dan berkualiti kepada rakyat.
Menurut beliau, pembangunan sektor kesihatan perlu dilihat dalam konteks lebih luas sebagai sebahagian daripada agenda pembinaan negeri yang menekankan kesejahteraan rakyat serta nilai jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak kini berada pada landasan pembangunan pesat dan berpotensi menjadi negeri maju menjelang 2030, namun perubahan minda perlu bergerak seiring dengan kemajuan tersebut.
“Sarawak hari ini berbeza berbanding sedekad lalu dan akan terus berubah, namun perubahan minda perlu bergerak seiring dengan pembangunan yang pesat,” tambahnya.
Beliau turut menyentuh usaha kerajaan Sarawak dalam memperkukuh autonomi kesihatan termasuk pembangunan hospital, latihan tenaga kerja perubatan serta pelaksanaan pelan induk kesihatan jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Borneo Medical Centre (BMC), Dr John Chew Chee Ming berkata penubuhan makmal satelit kedua itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam mendekatkan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti.
Menurutnya, kemudahan tersebut menjadikan saringan kesihatan lebih mudah, pantas dan selesa, sekali gus membolehkan lebih ramai mendapat manfaat daripada diagnosis awal serta rawatan tepat pada masanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa semua spesimen yang dikumpulkan akan diproses di makmal utama BMC yang diperakui ISO 15189 bagi memastikan standard ketepatan, kebolehpercayaan dan kualiti sentiasa terpelihara.
Majlis yang berlangsung di Pine Square Batu Kawa itu turut dihadiri oleh wakil pengurusan, pemain industri kesihatan serta komuniti setempat. -EDISI UKAS