Saringan awal penting kesan penyakit tidak berjangkit – Dr Sim
KUCHING: Saringan kesihatan awal amat penting dalam mengesan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang menjadi antara beban utama kesihatan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata tanpa saringan, ramai individu tidak menyedari tahap kesihatan sebenar mereka.
“Jika kita tidak melakukan saringan, kita tidak akan tahu sama ada mempunyai kolesterol tinggi, gula tinggi atau tekanan darah tinggi yang memerlukan rawatan awal,” katanya kepada media selepas majlis perasmian BMC Pines Square Satellite Laboratory, hari ini.
Menurut beliau, kemudahan seperti makmal satelit membantu meningkatkan akses kepada saringan kesihatan sekali gus membolehkan pengesanan awal dan rawatan yang lebih berkesan.
Beliau berkata langkah tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan warga emas, malah penting untuk memastikan golongan bekerja kekal sihat dan produktif.
“Golongan yang masih bekerja perlu kekal sihat supaya mereka dapat terus menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa operasi makmal satelit turut mengoptimumkan penggunaan kemudahan sedia ada dengan sampel dihantar ke makmal utama untuk diproses secara berpusat.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh sistem kesihatan negeri termasuk dalam usaha mencapai autonomi kesihatan Sarawak.
“Kerjasama ini penting kerana kedua-dua pihak memainkan peranan dalam melaksanakan dasar kesihatan secara menyeluruh,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan Sarawak juga mengambil langkah proaktif dalam menangani kekurangan tenaga kerja perubatan termasuk meningkatkan tajaan pelajar perubatan tempatan bagi memenuhi keperluan masa hadapan.-EDISI UKAS