Aidilfitri Satukan Kepelbagaian, Kukuhkan Muhibbah di Sarawak
KUCHING: Majlis Kesyukuran Aidilfitri Agensi-Agensi Islam Sarawak Tahun 1447H/2026M bukan sekadar sambutan perayaan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara agama di negeri ini.
Program anjuran Majlis Islam Sarawak (MIS) yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam Sarawak itu menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada kakitangan agensi Islam, badan bukan kerajaan (NGO) serta wakil pelbagai organisasi agama.
Majlis diserikan dengan kehadiran kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, yang turut berkenan menyempurnakan gimik perasmian serta meluangkan masa melawat gerai-gerai jamuan bertemakan “Beraya di Perantauan”.
Sebanyak 16 gerai disediakan, menampilkan pelbagai juadah dari dalam dan luar negara, mencerminkan kepelbagaian budaya serta kreativiti agensi-agensi Islam di Sarawak dalam meraikan Aidilfitri. Suasana majlis turut dimeriahkan dengan persembahan, tayangan video serta pertandingan seperti gerai terbaik, kad raya digital dan TikTok Raya yang menggabungkan elemen tradisional dan moden.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha dalam ucapannya berkata, tema “Beraya di Perantauan” mengingatkan bahawa semangat Aidilfitri mampu menyatukan umat Islam walau di mana mereka berada.
“Syawal adalah bulan kemenangan dan keampunan, serta waktu terbaik untuk kita mempereratkan silaturahim dan ukhuwah Islamiah,” katanya.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai agensi dan NGO Islam bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama, malah memperlihatkan kekuatan perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam di Sarawak.
Menariknya, majlis ini turut melibatkan kehadiran wakil organisasi agama lain seperti Association of Churches in Sarawak, Kuching Buddhist Society dan Malaysia Hindu Sangam, sekali gus menyerlahkan semangat toleransi dan keharmonian antara kaum yang menjadi teras masyarakat Sarawak.
Acara turut disempurnakan dengan upacara pemotongan kek oleh TYT bersama ketua-ketua agensi Islam sebagai simbol kesyukuran, sebelum baginda berangkat meninggalkan majlis.
Penganjuran majlis tahunan ini dilihat terus relevan dalam memperkukuh jaringan sosial, memupuk nilai muhibbah serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang di Sarawak.- EDISI UKAS