Perumahan Baharu Kampung Malaysia Diperkasa Melalui RADDA Fasa
MERADONG: Pembangunan kawasan perumahan baharu di Kampung Malaysia bakal diperkasa menerusi pelaksanaan Projek Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) fasa kedua yang memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan asas yang lebih lengkap kepada penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata projek tersebut akan melibatkan kerja-kerja meratakan tapak tanah serta menaiktaraf penyambungan bekalan air dan elektrik bagi menyokong pembangunan kawasan perumahan baharu di kampung berkenaan.
“Pelaksanaan Projek RADDA fasa kedua ini amat penting bagi memastikan kawasan perumahan baharu dapat dibangunkan dengan lebih terancang serta dilengkapi kemudahan asas yang mencukupi untuk keselesaan penduduk.
“Selain itu, saya juga akan terus berusaha mendapatkan peruntukan bagi menaiktaraf kemudahan lain termasuk sistem perparitan dan jalan utama demi keselamatan serta kesejahteraan penduduk di Kampung Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Kampung Malaysia yang berlangsung di sini pada Sabtu.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan pembinaan surau di Kampung Malaysia telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Premier Sarawak dan akan diselaraskan bersama JAIS Bahagian Sarikei bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan komitmen untuk memohon Projek RTP bagi tahun 2027 yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan serta jalan utama di kawasan tersebut.
Selain itu, beliau turut menyalurkan Geran Khas MRP berjumlah RM3,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Malaysia bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan tahun 2026.-EDISI UKAS