9 NGO Berganding Bahu Jayakan Ramah Tamah Aidilfitri Tradisi Kampung Pangtray
DARO: Sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berganding bahu menjayakan Ramah Tamah Aidilfitri tradisi Kampung Pangtray di Dewan Kampung Pangtray pada Sabtu, sekali gus memeriahkan sambutan Syawal dalam suasana penuh kemesraan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penganjuran majlis tersebut, sekali gus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah menjadi platform terbaik untuk memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam komuniti,” katanya semasa berucap.
Dalam majlis sama, Dr. Safiee menyampaikan sumbangan dana kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pangtray, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Pangtray serta Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Kampung Pangtray yang keseluruhannya berjumlah RM17,000 bagi membantu memperkasa aktiviti kemasyarakatan serta pembangunan pendidikan dan kebajikan di kawasan berkenaan.
Majlis yang bermula seawal jam 9.30 pagi itu menghimpunkan penduduk setempat serta pelbagai agensi komuniti dalam suasana penuh kemesraan dan semangat ukhuwah sempena Syawal.
Kesemua NGO yang terlibat memainkan peranan penting melalui penyediaan gerai rumah terbuka menawarkan pelbagai juadah kepada pengunjung, menambahkan kemeriahan sambutan.
Antara NGO yang terlibat ialah JKKK Kampung Pangtray, PIBG Sekolah Kebangsaan Kampung Pangtray, Jawatankuasa Pengurusan Masjid Kampung Pangtray, Saberkas Unit Kampung Pangtray, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pangtray, Persatuan Nelayan Kawasan, PPWS Pangtray, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) serta Perpustakaan Desa Kampung Pangtray.
Turut hadir, Pemangku Guru Besar SK Kampung Pangtray Zaina Abdul Razak, Ketua Kaum Shamsiah Saibi, Yang Dipertua PIBG SK Kampung Pangtray Rasidah Raden serta Pengerusi JKP Masjid Kampung Pangtray Osman Raim.-EDISI UKAS