RM24,000 Dana RTP Bantu Persatuan Klan Yuzhang Sarawak Pelihara Warisan Budaya
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa pembangunan komuniti menerusi penyaluran dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM24,000 kepada Persatuan Klan Yuzhang Sarawak sempena penganjuran Majlis ‘Spring Ancestral Worship’ Tahun Bingwu, pada Ahad.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang, sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan terhadap usaha persatuan dalam melaksanakan aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan.
Majlis itu menghimpunkan ahli persatuan bagi memperingati serta menghormati nenek moyang, selaras dengan tradisi masyarakat Cina yang diwarisi sejak turun-temurun.
Dalam pada itu, penyaluran dana RTP berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kelangsungan fungsi persatuan komuniti sebagai wadah memelihara warisan budaya, di samping memperkukuh perpaduan sosial dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Selain menjadi simbol penghormatan kepada generasi terdahulu, penganjuran majlis seumpama ini turut berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memupuk semangat kebersamaan dalam komuniti.
Kerjasama erat antara wakil rakyat dan organisasi komuniti yang dizahirkan melalui sokongan dana ini turut memperkukuhkan usaha pembangunan masyarakat yang inklusif, sejajar dengan aspirasi Sarawak ke arah kesejahteraan dan kemakmuran bersama. -EDISI UKAS