JPBB Mukah Tinjau Operasi Kebakaran Belukar di Kampung Penasu
DARO: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah turun padang meninjau keadaan semasa kebakaran belukar di Kampung Penasu di sini, pada Ahad bagi memastikan operasi pemadaman berjalan lancar dan terkawal.
Lawatan yang bermula seawal jam 8 pagi itu diketuai oleh Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, bersama ketua-ketua jabatan serta wakil pelbagai agensi berkaitan.
Antara agensi yang terlibat ialah Pejabat Residen Bahagian Mukah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Mukah, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Daro, Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Meradong dan IPD Matu Daro, Jabatan Pertanian Daerah Daro, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Daerah Daro serta pihak pengurusan ladang.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro merupakan antara pasukan utama yang terlibat secara langsung dalam pemantauan serta penyelarasan operasi di lapangan.
Operasi pemadaman dilaksanakan menggunakan kaedah darat pada peringkat awal bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Usaha tersebut kemudiannya diperkukuhkan dengan penggunaan kaedah ‘water bombing’, khususnya di kawasan yang sukar diakses.
Dalam masa sama, inisiatif turut diambil untuk menaik taraf ban sedia ada bagi memperbaiki sistem perparitan, yang secara tidak langsung berfungsi sebagai ‘fire breaker’ bagi menghalang penularan kebakaran ke kawasan lain.
Pihak berkuasa turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan ladang atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang operasi dijalankan.
Maklumat berkaitan individu yang terjejas juga sedang diuruskan bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
Lawatan itu bertujuan memastikan tindakan susulan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan, khususnya dari aspek keselamatan penduduk serta penyelarasan bantuan.
Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa demi keselamatan bersama.-EDISI UKAS