Kekalkan Tradisi Bermaaf-Maafan, Perkukuh Permuafakatan
TANJUNG MANIS: Amalan bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjung sempena Hari Raya Aidilfitri perlu terus dipelihara sebagai asas memperkukuh permuafakatan dalam masyarakat.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, nilai keprihatinan terhadap jiran serta sikap saling membantu perlu terus disemai dalam kehidupan seharian.
Menurut beliau, adat resam tersebut merupakan warisan turun-temurun yang menjadi keunikan sambutan perayaan, selain menyumbang kepada keharmonian komuniti.
“Namun begitu, kesederhanaan dalam menyambut apa jua perayaan perlu diamalkan bagi mengelakkan pembaziran, lebih-lebih lagi dalam situasi semasa yang menyaksikan konflik di Timur Tengah memberi kesan kepada peningkatan harga minyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Dewan IKS Tanjung Manis, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain, Dato Ir. Yusuf turut menasihatkan agar segala permohonan pembangunan infrastruktur disalurkan melalui jabatan dan kementerian yang berkaitan bagi memastikan tindakan yang lebih teratur dan berkesan dapat diambil.
Tambah beliau, kerjasama erat antara pihaknya dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh akan terus diperkukuhkan bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa diberi perhatian.
Usaha tersebut, katanya, penting dalam merealisasikan hasrat menjadikan Bandar Baru Tanjung Manis sebagai pusat tumpuan dan pentadbiran utama bagi kawasan sekitar termasuk Belawai, Rajang dan Jerijih.-EDISI UKAS