SABERKAS Daro Perkukuh Organisasi Menerusi Pemilihan Kepimpinan Baharu
DARO: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Daro memperkukuh organisasinya menerusi penganjuran Mesyuarat Agung Tri-Tahunan serta pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) baharu bagi sesi 2026 hingga 2029 pada Sabtu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad menzahirkan penghargaan atas komitmen serta kehadiran semua perwakilan dan pemerhati yang telah menjayakan mesyuarat berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa mesyuarat agung bukan sahaja menjadi medan pemilihan kepimpinan, malah berperanan sebagai wadah memperkukuh perpaduan serta menyelaras hala tuju organisasi ke arah yang lebih cemerlang.
Menurutnya, kepimpinan baharu yang dipilih perlu menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab, selain mengutamakan nilai integriti, disiplin dan semangat kerja berpasukan dalam setiap pelaksanaan program.
“Barisan kepimpinan yang dilantik hari ini merupakan tonggak penting dalam menentukan masa depan SABERKAS di peringkat cawangan.
“Justeru, saya berharap amanah ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin demi memastikan SABERKAS terus relevan sebagai wadah pembangunan belia,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan serta Pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) SABERKAS Cawangan Daro bagi sesi 2026 hingga 2029 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daro.
Dr. Safiee turut menyeru agar semua ahli SABERKAS terus memperkukuh kerjasama antara unit serta memperbanyakkan penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat tanpa mengira latar belakang kaum.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan perwakilan dan pemerhati daripada 12 unit SABERKAS di kawasan Daro bagi menyempurnakan pembubaran AJK sesi 2023 hingga 2026, seterusnya melaksanakan proses pemilihan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2026 hingga 2029.
Menariknya, pemilihan kali ini memperlihatkan penglibatan pelbagai kaum termasuk masyarakat Iban dan Cina, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi teras kekuatan SABERKAS.
Turut hadir, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak Iszuan Haroni serta Ketua Unit Pengurusan Koperat SABERKAS Sarawak, Aymer Cedrick Masek.-EDISI UKAS