SABERKAS Pemangkin Pembangunan Komuniti Luar Bandar
DARO: Peranan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) di peringkat akar umbi terus terbukti sebagai pemangkin utama dalam menjayakan pelbagai program pembangunan komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Negeri Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad, penglibatan aktif ahli dalam program kebajikan, pendidikan dan kesukarelawanan memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat.
“Komitmen dan semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh ahli SABERKAS di setiap peringkat membuktikan bahawa organisasi ini bukan sahaja relevan, malah menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Malam Penghargaan & Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 SABERKAS Cawangan Daro yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daro, pada Sabtu.
Dr. Safiee yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Daro menambah, kejayaan pelaksanaan pelbagai program adalah hasil kerjasama erat antara kepimpinan, ahli di peringkat akar umbi serta sokongan masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar semangat kebersamaan dan nilai perpaduan yang dipupuk melalui program SABERKAS terus diperkasakan demi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara secara berterusan.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi I Saberkas Cawangan Daro merangkap Exco Saberkas Negeri Sarawak Mohd Faizal Jamiludin, Naib Pengerusi II Cawangan Daro Ermalyana Veaselyn Jaul, barisan Exco SABERKAS Cawangan Daro, Penghulu Bahiri Selakong, Ketua Kaum Suzianna Daya, Setiausaha Eksekutif SABERKAS Negeri Sarawak Iszuan Haroni serta Ketua Unit Pengurusan Korporat SABERKAS Negeri Sarawak Aymer Cendrick.-EDISI UKAS