LUNDU: Usaha memperkasa pembangunan sukan di kawasan Opar terus diberi penekanan dengan beberapa perancangan baharu diumumkan termasuk cadangan menaik taraf gelanggang serbaguna sedia ada kepada kemudahan berbumbung serta pembinaan gelanggang pickleball.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, berkata pembangunan kemudahan sukan itu penting bagi menyediakan ruang lebih selesa dan kondusif kepada belia serta komuniti setempat untuk terus aktif dalam aktiviti riadah dan sukan.
"Beberapa perancangan pembangunan sukan di kawasan Opar termasuk cadangan menaik taraf gelanggang serbaguna sedia ada kepada kemudahan berbumbung dengan anggaran kos RM1.7 juta, selain pembinaan gelanggang pickleball yang bakal dilengkapi dengan klinik serta penganjuran pertandingan sukan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2026 bagi kawasan N.1 Opar yang berlangsung di Kampung Serayan Baru, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, golongan belia merupakan aset penting dalam pembangunan masyarakat, justeru penglibatan aktif mereka dalam bidang sukan perlu terus diperkasa bagi membentuk jati diri positif serta menjauhkan diri daripada gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan judi dalam talian.
Program Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2026 bagi kawasan Opar berlangsung meriah dengan penyertaan aktif belia setempat dalam tiga acara utama dipertandingkan iaitu futsal, sepak takraw dan senamrobik dengan penyertaan memberangsangkan daripada komuniti setempat.
Bagi acara futsal yang melibatkan 17 pasukan, Volcano FT muncul juara, diikuti SB FT sebagai naib juara, manakala Kesuka FT dan Belia Serayan masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Dalam acara sepak takraw pula, JTC D (Jugan) berjaya menjuarai pertandingan, diikuti Stungkor 17 di tempat kedua, V-Team di tempat ketiga dan Phantom di tempat keempat.
Sementara itu, bagi pertandingan senamrobik, Gacor Squad dinobatkan sebagai juara, diikuti Serahu Bato Bagelo dan Select Two J, manakala Jangkar Fit Force di tempat keempat. -EDISI UKAS