Dion Raih Dua Pingat Perak, Layak Wakili Malaysia Ke Final Dunia Dance World Cup 2026
KOTA KINABALU: Penari cilik berbakat dari Sarawak, Dion Das Louis, melakar pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih dua pingat perak pada Dance World Cup Malaysia Qualifier 2026 yang berlangsung di Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dari 28 hingga 29 Mac lepas.
Lebih membanggakan, Dion merupakan satu-satunya peserta dari Sarawak yang bertanding dalam kejohanan tersebut, sekali gus mengharumkan nama Bumi Kenyalang di pentas seni tari kebangsaan.
Dalam pertandingan berkenaan, beliau menyertai dua kategori iaitu Mini Solo National Folklore dan Senior Duo Folklore.
Bagi kategori solo, persembahan Dion menampilkan konsep baharu yang diinspirasikan daripada legenda Bujang Beraniserta semangat perjuangan “Agi Idup Agi Ngelaban”, yang diterjemahkan menerusi gaya persembahan penuh tenaga dan berjiwa pahlawan.
Penampilan kali ini juga menyaksikan Dion tampil dengan imej berbeza apabila tidak lagi mengenakan kostum berkonsepkan sayap, sebaliknya mengetengahkan konsep dan penampilan pahlawan yang lebih gagah serta sarat dengan elemen warisan budaya.
Sementara itu, bagi kategori Senior Duo Folklore, Dion bergandingan dengan penari dari Sabah, Mohamad Haykal, menerusi persembahan bertajuk Kanjet Lian Sura, yang diinspirasikan daripada salah satu mitos masyarakat Orang Ulu.
Koreografi dan rekaan kostum bagi kedua-dua persembahan tersebut dihasilkan oleh Brandon Balasius, seorang koreografer terkenal dari Sabah yang sinonim dengan sentuhan kreatif berteraskan warisan budaya Borneo.
Dengan pencapaian sebagai pemenang pingat perak, Dion kini layak mewakili Malaysia ke Dance World Cup, World Finals 2026 yang akan berlangsung di Dublin, Ireland pada Julai ini. -EDISI UKAS