Nur Azhar Bujang Dilantik Semula Sebagai Setiausaha DUN Sarawak
KUCHING: Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Nur Azhar Bujang telah mengangkat sumpah pelantikan semula dalam satu Majlis Angkat Sumpah Setiausaha DUN Sarawak yang berlangsung di Bangunan DUN Sarawak di sini pada Isnin.
Ikrar angkat sumpah telah dilaksanakan di hadapan Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar sebelum menandatangani watikah pelantikan sebagai Setiausaha DUN Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Idris Buang, Peguam Kanan Pejabat Peguam Besar Sarawak Dr Jady@Zaidi Hassim serta pegawai-pegawai kanan DUN Sarawak.
Ia adalah pelantikan semula Nur Azhar selepas mengangkat sumpah sebagai Setiausaha DUN Sarawak pada tahun 2024 bagi menggantikan Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom.
Pelantikan semula mencerminkan keyakinan berterusan terhadap kepimpinan, pengalaman serta komitmen beliau dalam menggalas tanggungjawab sebagai Setiausaha DUN Sarawak.
Majlis ini turut menjadi simbol kesinambungan pentadbiran dan pengukuhan institusi legislatif negeri dalam memastikan kelancaran urusan DUN Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus