Seimbangkan Pembangunan Moden Dan Pemeliharaan Tradisi Dayak
MIRI: Masyarakat Dayak diseru agar menyeimbangkan pembangunan moden dengan pemeliharaan nilai serta tradisi nenek moyang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, dalam era globalisasi masa kini, usaha mengekalkan identiti budaya amat penting agar warisan tidak luput ditelan zaman.
“Generasi muda perlu diberikan ruang dan peluang untuk meneruskan legasi budaya, di samping memperkukuh jati diri dalam arus pemodenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Gagasan Anak Dayak Sarawak (GADS) 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur serta mengucapkan tahniah kepada kepimpinan dan ahli GADS atas kejayaan menganjurkan majlis tersebut sempena ulang tahun ke-12 penubuhannya.
Katanya, tempoh tersebut mencerminkan perjalanan yang penuh komitmen, cabaran serta pencapaian dalam memperkasa komuniti Dayak di negeri ini.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap peranan yang dimainkan oleh GADS dalam memperkukuhkan perpaduan serta memelihara warisan budaya, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Semangat kesukarelawanan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh ahli-ahli persatuan membuktikan komuniti Dayak terus maju dengan semangat muafakat dan jati diri yang kukuh,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan GADS agar terus menjadi platform yang inklusif, progresif dan relevan dalam melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berwibawa dan berdaya saing.
Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan serta ahli persatuan, sekali gus menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti yang hadir.-EDISI UKAS