TOBC Borneo Pickleball Championship 2026 cungkil potensi atlet, perkukuh kedudukan Miri sebagai hab sukan antarabangsa
MIRI: Penganjuran kejohanan pickleball bertaraf antarabangsa mampu menjadi platform penting dalam melahirkan pemain berprestasi tinggi hingga ke peringkat dunia.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata, kejayaan penganjuran TOBC Borneo Pickleball Championship 2026 membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memartabatkan sukan pickleball.
Selain itu katanya, ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak, khususnya Miri, sebagai hab penganjuran acara sukan antarabangsa.
Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan kejohanan itu di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Cina Sarawak, Harry Lee menyifatkan kejohanan tersebut sebagai satu detik bersejarah apabila semua juara bagi tujuh kategori menerima kad kemasukan VIP ke APBA Pickleball Open Final di China.
Menurutnya, peluang eksklusif tersebut lazimnya hanya diberikan kepada 32 pemain terbaik dunia berdasarkan kutipan mata tahunan, sekali gus membuka ruang kepada pemain dari rantau Borneo untuk menonjol di pentas antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa kejohanan tersebut bukan sekadar pertandingan sukan, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan dalam kepelbagaian, khususnya melibatkan penyertaan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
Tambahnya, penganjuran bersama oleh 21 persatuan etnik di Sarawak mencerminkan kekayaan budaya negeri yang merangkumi 36 kumpulan etnik, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan sukan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Kejohanan TOBC Borneo Pickleball Championship 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula 28 Mac di Paragon Pickleball Sports Centre, Senadin berjaya menghimpunkan seramai 254 peserta dari pelbagai negara dan wilayah Borneo.
Turut hadir, Kaunselor Yee Chung Meng yang mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, penasihat persatuan merangkap penaja utama Paragon, Ling Tiing Leong, Presiden Persatuan Pickleball Sarawak, Delima Ibrahim, Presiden Persatuan Pickleball Miri, Yvonne Sim serta Pengerusi Penganjur merangkap Timbalan Pegawai Belia Persatuan Cina Sarawak, Lee Jun Tak.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi tujuh kategori dipertandingkan termasuk kategori 10 hingga 15 tahun, 16 hingga 18 tahun, 19 tahun ke atas serta 45 tahun ke atas selain penyampaian Piala Cabaran TOBC bagi kategori 19+ Mixed Open.-EDISI UKAS