Pelaburan Sarawak Kekal Kukuh, Tenaga Boleh Diperbaharui Kelebihan Strategik Depani Ketidaktentuan Global
KOTA SAMARAHAN: Keupayaan Sarawak membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui dilihat sebagai kelebihan strategik utama dalam mengekalkan momentum pelaburan, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global termasuk krisis di Timur Tengah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, situasi global yang rapuh ketika ini sememangnya memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia serta kos tenaga, namun Sarawak berada dalam kedudukan lebih stabil berbanding banyak negara lain.
“Memang keadaan sekarang sangat mencabar dan memberi kesan di seluruh dunia, termasuk rantaian bekalan dan kos tenaga.
“Tetapi kita akan terus fokus kepada kekuatan yang kita ada, khususnya dalam tenaga boleh diperbaharui yang menjadi kelebihan strategik Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Majlis Berjarah Raya Aidilfitri SMD Semiconductor di La Promenade Mall, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, pada tahun lalu, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan domestik (DDI) yang direkodkan melebihi RM16 bilion dalam sektor utama seperti perkhidmatan dan pembuatan.
Malah katanya, sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini, jumlah pelaburan yang diluluskan telah mencecah lebih RM116 bilion dengan sebahagian besar daripadanya telah direalisasikan atau sedang dalam pelaksanaan.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tumpuan akan terus diberikan kepada sektor berimpak tinggi seperti industri berteknologi tinggi dan semikonduktor, selari dengan usaha menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Sarawak.
“Ramai pelabur berminat kerana kita mempunyai kelebihan dari segi tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidro, selain lokasi strategik dan ekosistem yang kondusif,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa sebahagian pelaburan dalam sektor tenaga, termasuk tenaga solar, datang daripada negara Asia seperti China, Jepun dan Korea, selain penyertaan pelabur dari Timur Tengah termasuk Abu Dhabi.
Jelasnya, kebanyakan pelabur yang terlibat tidak terkesan secara langsung dengan konflik geopolitik semasa, sekali gus memastikan komitmen pelaburan kekal stabil.
“Kita akan terus mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dengan memberi fokus kepada kekuatan strategik sedia ada, terutamanya dalam sektor tenaga dan industri bernilai tinggi,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan berterusan sektor minyak dan gas serta tenaga alternatif akan memperkukuh lagi daya tahan ekonomi negeri dalam mendepani cabaran global.
Turut hadir, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Peguam Besar Sarawak, Datu John Wayne Chamberlin Sirau, Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS