MIS Sasar Perluas Jaringan Pusat Mengaji Al-Quran Di Seluruh Sarawak
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) terus mempergiat usaha memperkasa pengajian al-Quran menerusi penubuhan dan pengembangan pusat ngaji di seluruh negeri sebagai landasan melahirkan masyarakat celik al-Quran.
Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata, setakat ini sebanyak 32 rumah ngaji telah berdaftar di Sarawak, melibatkan pelbagai lokasi termasuk di Lawas, Limbang serta beberapa kawasan lain, dengan usaha memperluaskan penubuhannya sedang giat dilaksanakan.
Jelasnya, penubuhan pusat ngaji tersebut dilaksanakan di pelbagai premis seperti surau, masjid dan juga kediaman persendirian yang mempunyai kemudahan sesuai, bagi memudahkan masyarakat setempat mendalami ilmu al-Quran.
“Usaha ini akan terus diperkembangkan dengan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan lebih ramai masyarakat Islam di Sarawak berpeluang mengikuti pengajian al-Quran secara berterusan.
“Kita mahu pusat-pusat ngaji ini menjadi pemangkin kepada peningkatan bacaan, kefahaman dan penghayatan al-Quran dalam kalangan rakyat,” katanya ketika menerima Kunjungan Hormat Rombongan Wakil Sarawak ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Tambahnya, sambutan terhadap program pengajian al-Quran amat menggalakkan, termasuk penganjuran majlis khatam al-Quran yang berjaya menarik penyertaan besar seperti di Lawas yang mencatatkan penyertaan seramai 1,100 peserta.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa penubuhan pusat ngaji merupakan antara langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan al-Quran di Sarawak, selari dengan penubuhan Pusat Al-Quran Sarawak yang bakal menjadi institusi induk dalam menyelaras program berkaitan.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa usaha penterjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa etnik di Sarawak turut giat dilaksanakan bagi memperluas kefahaman masyarakat.
“Setakat ini, kita telah menterjemahkan al-Quran dalam bahasa Iban, Bidayuh dan Melanau serta beberapa bahasa lain, dan usaha ini akan terus diperkasakan agar lebih ramai dapat memahami mesej al-Quran.
“Pada masa sama, pusat-pusat al-Quran juga memberi tumpuan kepada golongan istimewa termasuk individu kurang penglihatan melalui penggunaan tulisan Braille serta golongan kurang pendengaran supaya mereka turut berpeluang mempelajari al-Quran dengan sebaiknya,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak akan menghantar enam wakil ke Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M yang dijadual berlangsung pada 13 hingga 18 April ini di Terengganu.
Bagi kategori tilawah, wakil Sarawak ialah Jubni Sulong (Qari) dari Bahagian Samarahan dan Nur Syakura Mohamad Musa (Qariah) dari Kuching.
Manakala bagi kategori hafazan diwakili Azizul Azmin Abdul Rajak (Juzuk 1-10 Lelaki), Adeela Bokhari (Juzuk 1-10 Perempuan) dari Kuching dan Harith Zakwan Sebli (Juzuk 1-20 Lelaki) dari Limbang.
Turut serta ialah Muhammad Najdat Arsyad Madzalan Abdul Rahman dari Bintulu bagi kategori Juzuk 1-30 Lelaki.-EDISI UKAS